Pemandangan sebenar pada hari kejadian.
Pada pagi hari yang dijadualkan, saya dihantar oleh Makngahnya kerana sebelum itu kita dah janji nak makan roti canai dulu kat gerai tepi sawah, tak jauh dari tempat berkelah Ulu Bendul.
Selepas selesai meroti canai, saya bergegas ke kolam pancing. Sebaik sampai saya segera sediakan pancing.
Oleh kerana saya dah lama tak memancing, penjaga kolam yang telah lama mengenali saya datang berborak. Saya ceritalah kenapa dah lama tak datang mancing kerana balik ke Perlis menjaga bapa mertua saya.
Dia pun mula cerita yang dulu dia juga menjaga arwah emaknya yang uzur.
Saya yang antara dengar tak dengar tapi buat-buat macam dengar kononnya, bertanya.
"Arwah emaknya ada lagi tak ?"
Saya tengok Makngahnya dah tersenyum kat saya. Saya tahu kenapa. Kalau dah arwah mana nak ada lagi. Tapi yang bestnya penjaga kolam tu jawab:
"Dah tak ada dah .. "
Saya memang begitu. Kalau tengah asyik buat kerja apa lagi sedang menyediakan peralatan pancing, bukan ambil perhatain sangat kalau orang bercakap.
Yang orang ini pun satu, tengah orang sibuk sediakan pancing, masa tulah dia nak bercerita.