Gambar hiasan hasil carian Google.
Masa dulu-dulu orang tua-tua atau orang dewasa bersosial dengan bertemu dan bersembang dengan kawan-kawan di kedai kopi. Lingkungannya terhad kepada kawan-kawan yang ada bersama pada masa itu. Sekarang di zaman ICT, medium kedai kopi itu telah diganti dengan henfon di mana capaiannya boleh sampai ke seluruh dunia. Macam-macam laman sembang tersedia dalam bentuk blog, forum, fesbuk, wasap, instagram, twitter dan seumpamanya yang boleh diakses melalui henfon.
Saya percaya ada juga orang yang memandang sinis bila melihat telatah orang-orang tua yang asyik menghadap henfon semasa tunggu bas, tunggu isteri shopping, tunggu cucu balik sekolah dsb.
Bagi saya tiada masalah asalkan jangan melampau batas misalnya berbalas wasap semasa dengar khutbah Jumaat! Saya sendiri sentiasa bawa henfon ke surau kalau ada ceramah atau kuliah ugama dengan tujuan mengambil nota. Nota-nota yang diambil boleh dicari semula dengan mudah dan pantas sekali. Ia juga boleh disalin untuk dipost di fesbuk atau wasap dan sebagainya.
Kalau mereka dikatakan membuang masa menghadap henfon, apa bezanya dengan orang dulu-dulu yang berborak atau main dam haji sekerat hari atau sekerat malam di kedai kopi? Lagi pun henfon bukan bertujuan untuk bersembang sahaja. Ada 1001 manfaat lain yang boleh diambil darinya. Antaranya yang saya gunakan hari-hari ialah membaca akhbar online.
Jadi bila melihat orang tua tekun menghadap henfon, janganlah bersangka yang bukan-bukan kerana sangkaan itu sebenarnya melambangkan perangai diri sendiri. Entah-entah orang tua tu sedang bersembang dengan cucu-cucunya yang duduk berjauhan melalui wasap keluarga atau sedang menghafal surah-surah tertentu dalam al-Quran.
Berilah mereka peluang sebab masa mereka muda-muda dulu, henfon belum ada.