Quantcast
Channel: KomenSen
Viewing all 723 articles
Browse latest View live

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 1.

$
0
0

Gambar kepala (header) grup Kelab Peminat Adat Perpatih (K-PAP). Bilangan ahli semasa adalah seramai 8,136 orang.


Tulisan berikut adalah hasil pemerhatian saya berdasarkan input dari ahli-ahli Kelab Peminat Adat Perpatih sejak ia ditubuhkan pada 3hb Jun 2013. Pemerhatian ini mungkin berfaedah kepada mereka yang ingin belajar dialek N9. Oleh kerana ia dalam bentuk tulisan, maka untuk mendapatkan sebutan yang betul, kenalah bergaul atau bertanyakan orang N9.

 
* Pemerhatian ini berdasarkan sebutan orang daerah Kuala Pilah dan Jempol. Mungkin ada sedikit perbezaan di daerah lain seperti Jelebu atau Port Dickson.


PELAJARAN 1 -  Huruf  'a'  jadi huruf 'o'.

Saya perhatikan, orang N9 akan menukarkan sebutan hampir semua huruf  'a'yang berada di hujung setiap perkataan kepada huruf 'o'. Ini yang paling mudah dan menyeluruh. Anda hanya perlu tukarkan sebutan dari bahasa baku yang ada huruf 'a' dihujungnya kepada huruf 'o'.  

Contoh:

ada > ado
baca > baco
cuba > cubo
dua > duo
gua > guo
jala > jalo
kaya > kayo
lama > lamo
mana > mano
nama > namo
paya > payo
sama > samo
tanya > tanyo

Tapi ada pengecualiannya,  jika ia bertukar makna, pelik atau lucu. Contohnya.

1. Bola tetap bola bukan bolo.
2. Nyonya tetap nyonya bukan nyonyo.
3. Nona tetap nona bukan nono.
4. Lawa tetap lawa bukan lawo.
5. Anda tetap anda bukan ando.
6. Kerbau bala tetap kerbau bala bukan kerbau balo.

Selain dari itu, nama jenama jugak tidak diubah sebutannya.
Misalnya Yamaha tak bolehlah ditukar kepada Yamaho dan Kubota tak boleh ditukar kepada Kuboto walaupun perkataan itu ada huruf 'a' di hujungnya.

Jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut atau mendalami dialek orang Negeri Sembilan, silalah join Kelab Peminat Adat Perapatih (K-PAP) . Terima kasih.




MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 2.

$
0
0



Untuk makluman, entri ini merupakan sambungan dari entri ini.

PELAJARAN 
2.
Huruf 'at' jadi huruf 'ek'


Saya juga perhatikan, orang N9 akan menukarkan sebutan hampir semua huruf 'at' yang berada di hujung perkataan kepada huruf 'ek'.  Anda hanya perlu tukarkan huruf 'at'  kepada 'ek'. Mudah kan !

Contoh:

amat - amek
buat - buek 
cawat - cawek
darat - darek
ikat - ikek
lumat - lumek
muat - muek
pacat - pacek
panjat - panjek
sumbat - sumbek
tambat - tambek

Nampak macam mudah, tapi dari pengalaman saya, ramai orang bukan N9 yang terkena di sini sebab banyak pengecualiannya. Bukan sembarangan sahaja boleh tukar 'at' kepada 'ek'. Tak ada petua, cuma  kena hati-hati sahaja. Misalnya.

Adat tak boleh tukar jadi adek.
Batat tak boleh tukar jadi batek.
Jawat tak boleh tukar jadi jawek.
Ketat tak boleh tukar jadi kotek.
Gawat tak boleh tukar jadi gawek.
Hebat tak boleh tukar jadi hebek.

Selain dari itu, nama khas seperti kampung Lonek bukan berasal dari perkataan Lenat dan kampung Bongek juga bukan berasal perkataan Bengat.

Contoh: Dari Lonek poei ko Bongek nak caghi ketupek. Boli soikek, makan sobinjek toruih tojoluek sobab dah boghulek.


MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 3.

$
0
0

Untuk makluman, entri ini merupakan sambungan dari entri ini.


PELAJARAN  3: huruf 'as' jadi huruf 'eh'.

Diperhatikan juga, orang N9 bila bertemu  huruf 'as' di hujung setiap perkataan akan menukarkan sebutannya kepada huruf 'eh'.

Contoh:

atas - ateh
balas - baleh
bingkas - bingkeh
buas - bueh
cantas - canteh.
culas - culeh
kapas - kapeh
kipas - kipeh
kupas - kupeh
libas - libeh 
lepas - lopeh
malas - maleh
pangkas - pangkeh
pintas - pinteh 

Dalam hal ini pun ada pengecualiannya. Tak ada petua tertentu, cuma kena ingat sahaja.

Contoh:

awas tak boleh tukar jadi aweh
belas tak boleh tukar jadi beleh
bebas tak boleh tukar jadi bebeh
kebas tak boleh tukar jadi kebeh
tewas tak boleh tukar jadi teweh.




MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 4.

$
0
0


Ada pun entri ini adalah sambungan dari entri ini.

PELEJARAN 
4:
  Huruf 'ĕ ' (pepet) jadi huruf 'o'. 


Saya juga perhatikan, orang N9 akan menukarkan sebutan huruf 'ĕ'  kepada huruf 'o'. Fenomena ini lumrah. Bahkan hampir semua sebutan huruf 'ĕ' pepet menjadi 'o'.

Contoh:

bĕla - bolo
bĕsar - bosar
cĕrok - coghok
dĕkat - dokek
dĕra - dogho
dĕpan - dopan
gĕlak - golak
gĕmok - gomok
kĕra - koro
pĕtai - potai
mĕrĕkah - moghokah
pĕlĕpah - polopah
pĕta - poto
sĕbĕlah - sobolah 
sĕdĕkah -sodokah
sĕmĕnggah - somonggah 
tĕka - toko
tĕlur - tolo.

Saya tak berjumpa pengecualiannya.
  
Peringatan:  Kalau huruf vokal  'e' (taling) jangan pulak suka-suka nak ditukar sebutannya menjadi 'o'. Misalnya 'besan' tetap disebut 'besan'. Tak boleh tukar jadi 'bosan', walau pun kadang-kadang ada betulnya. Sebab itu
dalam kamus dialek Negeri Sembilan itu, tiada perkataan yang ada huruf ĕ pepet kerana semua telah saya tukarkan kepada huruf 'o' untuk mengelakan kekeliruan.




Sumber: Sini.



MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 5.

$
0
0



Entri ini adalah sambungan dari entri ini.


PELAJARAN 5Huruf 'e' taling tidak berubah sebutannya.

Dalam bahasa N9, saya perhatikan semua 'e' taling tak berubah sebutannya. Ini penting !

Contoh:

becok
bengkok
cemat
hebat
lebar
merah 
perak
sekeh
sepak
cerek
gelek
hebat
lengah
leret
seret

Kadang-kadang ada juga kawan-kawan yang bukan orang N9 yang cuba menukarkan sebutan huruf 'e' taling kepada 'o'. Buruk benar bunyinya. Contoh. "Apo morah (maksudnya merah) bona baju kau ni".




MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 6.

$
0
0


Sambungan dari entri ini. Pelajaran kali pendek sahaja tapi menarik dan penting untuk mencapai ketepatan sebutan dalam percakapan.

PELAJARAN 6.  Sebutan huruf 'ua'  jadi 'o'

Umumnya orang N9 akan menukar sebutan 'ua' di dalam satu-satu perkataan kepada 'o' sahaja. Lihat beberapa contoh yang saya berikan seperti di bawah.

Buaya - boyo.  Contoh: Boyo darek banyak sekarang ni.
Kuala - kolo.  Contoh: Bilo kau nak poie Kolo Kopih.
Kuasa - koso. Contoh: Tak koso den masuh keto tongahari buto ni do.
Puasa - poso. Contoh: Dah habih poso onam lom ?
Suara - sogho. Contoh: Sogho sapo monghoghik-hoghik kek kopuk tu ?

Pengecualian:  Muara bukan moro, puaka bukan poko, suasa bukan soso. Bila ada pengecualian itu, kenalah berhati-hati kerana pengecualian ini hanya boleh dikesan atau dipelajari melalui pergaulan dengan orang yang bercakap N9.

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 7.

$
0
0


Bersambung dari entri ini.

PELAJARAN 7
. Menghilangkan bunyi huruf 'l' di hujung perkataan.


Orang N9 juga saya perhatikan tidak membunyikan atau tidak menekankan bunyi huruf 'l' yang berada di hujung perkataan. Akan tetapi kalau nak bunyikan pun saya rasa tak ada masalah, tapi janganlah tebal sangat.

Contoh:


bedal > boda
gumpal > gumpa
handal > handa
kapal > kapa
madal > mada
mahal > maha
pangkal > pangka
pintal > pinta
tebal > toba
tungkal >tungka

Pengecualian: Perkataan 'kawal' tetap kawal bukan 'kawa' dan 'bebal' bukan 'boba'. Saya tak pasti perkataan 'sundal' tukar jadi 'sunda' ke tidak kerana perkataan sunda tu turut dipakai pada nama sebuah pulau di Indonesia.


MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 8.

$
0
0




PELAJARAN 8. Perkataan Inggeris di Negeri Sembilankan.

Akibat pengaruh Bahasa Inggeris, orang N9 juga banyak mengambil dan menukarkan bahasa Inggeris ke dalam lidah orang N9 dengan makna yang asal atau sedikit berlainan.

Contoh:

1. Celait - torch light
2. Koporit - Culprit
3. Singgam - Chewing gum
4. Motan - Important *
5. Keriya - Carrier
6. Kona -   Corner
7. Alikaca - Agriculture
8. Soja - Soldier
9. Stemet - Estimate
10. Belen - Balance
11. Stedeng - Steering
12. Hendal - Handle.
13. Podeksen - Port Dikson.
14. Celen - Challange.
15. Selenda - Surrender
16. Kerop - Care of.
17. Roba - Rubber
18. Sekoya - Square

* Perkataan 'motan' mungkin juga diambil dari perkataan Arab 'matan'. Perkataan-perkataan lain seperti kona, belen atau celen mungkin juga turut digunakan secara umum di seluruh negara.


MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 9.

$
0
0

Entri ini adalah sambungan dari entri ini.
 


PELAJARAN 9:  Huruf 'r'  tak ada bunyi.

Huruf 'r' yang berada di hujung perkataan juga tidak dibunyikan atau tak berapa nak dengar sebutannya. Kalau nak bunyikan pun, saya rasa tak ada masalah, dengan syarat janganlah tebal sangat.

Contoh:

bakar > baka
gebar > goba
khabar > koba
keluar > kolua
lempar > lempa
pagar > paga
seluar > selua
besar > bosa
gambar > gamba
sambar > samba.



WW # 118: MARI LIHAT ORANG BALING IKAN.

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 10.

$
0
0

Bersambung dari entri ini.

PELAJARAN 10.
Huruf 'is' di hujung perkataan ditukar sebutannya kepada'ih'


Saya juga perhatikan orang N9 akan menukarkan sebutan huruf 'is' di hujung sesuatu perkataan kepada huruf 'ih'.

Contoh:

bengis > bongih
habis > habih
keris > korih
kudis > kudih
lapis > lapih
manis > manih
manggis > manggih
tepis > topih
tiris > tirih
waris > waghih

Pengecualian: Puas saya fikirkan, tapi tidak terjumpa pengecualiannya.



.

MENYARING PADI DAN ANTAH MELALUI PENGALAMAN MEMANCING.

$
0
0
Gambar sekadar hiasan.

Bagi kaki pancing, mereka selalunya akan pergi secara berkumpulan bila memancing di tempat-tempat yang jauh atau ke lokasi-lokasi yang terpencil di pendalaman. Selain dari dapat berkongsi kos, langkah keselamatan; pergi memancing bersama kawan-kawan adalah satu daripada keseronokan memancing. Semasa perjalanan di dalam kenderaan, kadang-kadang mereka tidak tidur semalaman kerana seronok berborak.  Benda yang disembangkan tentulah berkaitan dengan hal ehwal memancing. Kadang-kadang cerita yang sama diulang berberapa kali namun ia tetap tidak pernah menjemukan.

Akan tetapi kalau mendapat kawan yang berperangai hodoh, tentulah ia akan menimbulkan ketidakseronokan kepada semua ahli dalam kumpulan.

Misalnya ada kawan memancing yang bila hanya dia seorong dapat banyak ikan, sedangkan orang lain langsung tak dapat, dia akan berkata ...

".. kita memancing ni rezeki masing-masing .. kalau tak dapat tu terimalah hakikatnya yang rezeki kita tidak ada".

Akan tetapi bila dia tak dapat langsung dan dalam masa yang sama orang lain pula dapat banyak, dia akan berkata ...

"Kita memancing dalam satu grup ni, susah senang kita bersama. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah. Sepatutnya semua hasil tangkapan kita kena bagi sama banyak"

Saya rasa begitulah kaedahnya kalau kita hidup dalam satu negara pesekutuan. Mana-mana negeri janganlah pulak bersikap seperti kawan pemancing yang berperangai hodoh tu. Bila negeri dia banyak hasil, dia kata lain tapi bila negeri dia tak ada hasil dia kata lain pula. Dan ingatlah bahawa hasil yang kita ada itu mungkin tidak kekal selama-lamanya.  Ia mungkin kehabisan atau tidak laku di pasaran kerana tiada permintaan atas pelbagai sebab. Siapa tahu, kerana itu semua adalah hak milik mutlak  Allah belaka. Allahua'lam.




.

SEMAKIN HARI SEMAKIN SENANG.

$
0
0


 Siapa pernah ada pengalaman mesen kelapa macam ni ?



Orang kita semakin lama semakin senang. Cuba tengok peringkat-peringkat menuju kesenangan itu dalam hal menyediakan makanan.

Peringkat 1. Mula-mula kita kait atau panjat pokok ambil nyior, lepas tu kupas, kukur, ramas dan perah. Barulah dapat santannya untuk menggulai lauk. 

Peringkat 2. Beli nyior bulat, lepas tu mesin kat rumah.

Peringkat 3. Beli nyior dah siap mesin kat kedai. Perah kat rumah.

Peringkat 4. Beli santan yang fresh atau kotak.

Peringkat 5. Beli lauk, makan kat rumah. Nasi masak sendiri kat rumah.

Peringkat 6. Keluar makan kat kedai.

Peringkat 7. Last-last order pizza, makan kat rumah atas katil sambil tengok tv rancangan Maharaja Lawak Mega.

Lepas ni tak tahulah macamana pulak agaknya.


CONTOH KATA-KATA PENYEDAP BICARA.

$
0
0
Bulan pun nampak dekat ..

Kadang-kadang kita dengar orang berkata-kata yang mana kata-kata tersebut tidak membawa makna yang jelas dan konklusif, tidak boleh dipegang atau pun mengelirukan. Contohnya:

"Saya akan pastikan masalah yang sama tidak akan berulang pada masa hadapan"


Kalau berulang juga, kata-kata yang sama akan diucapkan sekali lagi.

"Walaupun saya seorang peragut, saya juga ada maruah"

Jadi maruah itu apa maksudnya ?

"Walaupun saya sering memukul isteri saya, itu tidak bermakna saya tidak sayang kepada dia"

Agaknya kalau dia dah tak sayang lagi, entah macamana pulak dia buat kepada isteri dia.
 
"Projek itu akan disiapkan dalam masa yang terdekat"

Dekat itu berapa lama ? 3 minggu, 3 tiga bulan atau 3 tahun ? 

"Walaupun saya tidak pernah menderma atau bersedekah, itu tidak bermakna saya kedekut"

Mungkin dia pemurah untuk perkara-perkara lain. Bersangka baiklah.

 "Walaupun saya tak pernah balik ke kampung menjenguk ibu bapa saya, itu tidak bermakna saya sudah melupakan mereka"

Mungkin dia sibuk sangat kot. Sekali lagi, bersangka baiklah.






MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 11.

$
0
0



Bersambung dari entri ini.


PELAJARAN 11. Huruf 'us' jadi 'uih'

Seterusnya orang N9 juga akan menukarkan sebutan huruf 'us' di hujung sesuatu perkataan kepada huruf 'uih'.

Contoh:

bagus > baguih
berambus > boghambuih
bungkus > bungkuih
gajus > gajuih
halus > haluih
kambus > kambuih
kurus > kughuih
lulus > luluih
mampus > mampuih
putus > putuih

Saya tidak terjumpa pengecualiannya. 



SIAPA KATA BERBAHASA MELAYU DANGAN BETUL ITU MUDAH ?

$
0
0
Gambar hiasan hasil carian Google.


Bahasa Melayu memang mudah. Buktinya orang Bangladesh yang datang ke negara kita cuma dalam beberapa bulan sahaja, sudah boleh bercakap bahasa Melayu untuk berkomunikasi. Namun begitu untuk bercakap dalam bahasa Melayu dengan betul, tidak semudah yang di sangka.

Selain dari kesukaran menggunakan kata terbitan seperti yang pernah saya bincang di sini dahulu, membuat perkataan berganda dengan betul juga tidak kurang juga sulitnya.
Mungkin bagi orang Melayu tiada masalah, tapi mengikut pengalaman saya, ia amat sukar kepada bukan Melayu kecuali mereka yang mengambil jurusan Sastera atau Pengajian Melayu di peringkat kolej atau Universiti. Kalau tak percaya sila berikan senarai perkataan di bawah kepada warga Bangladesh yang sudah tinggal 2-3 tahun di Malaysia, minta beliau lengkapkan perkataan tersebut dan lihatlah sendiri apa hasilnya.
  • awan- ?
  • beli- ?
  • bengkak-?
  • bengkang-?
  • bolak-?
  • calar-?
  • cerai-?
  • compang-?
  • corat-?
  • desas-?
  • dolak-?
  • gelap-?
  • gembar-?
  • gilang-?
  • gopoh-?
  • gotong-?
  • gundah-?
  • gunung-?
  • hal-?
  • huru-?
  • hina-?
  • hingar-?
  • hiruk-?
  • huyung-?
  • jongkang-?
  • kacau-?
  • karut-?
  • kaya-?
  • kayu-?
  • kelam-?
  • keluh-?
  • kenduri-?
  • kering-?
  • kuih-?
  • kusut-?
  • lalu-?
  • lekuk-?
  • mandi-?
  • mundar-?
  • pindah-?
  • pontang-?
  • porak-?
  • punah-?
  • remeh-?
  • rempah-?
  • remuk-?
  • riuh-?
  • rumput-?
  • saki-?
  • sampah-?
  • saudara-?
  • sayur-?
  • sedu-?
  • segar-?
  • serba-?
  • simpang-?
  • sorak-?
  • susur-
  • tali-?
  • tanah-?
  • terang-?
  • tindak-?
  • tungkus-?
  • turun-?
  • ulang-?
  • umbang-?
  • warna-?
Entah-entah ada orang yang Melayu yang tidak tahu sesetengah dari perkataan berganda di atas. 

KALAU ADA ORANG CADANG NAK DATANG RUMAH KITA, APA NAK BUAT ?

$
0
0

Gambar ihsan Google.

Saya tak pasti samada anda pernah mengalaminya atau tidak. Katalah seorang kenalan lama kita telefon nak datang rumah esok petang. Selepas saling bertanya khabar, dia pun beritahu ..

Kenalan:Aku cadang nak pergi rumah engkau petang esok lepas 'Asar. Engkau tak kemana-mana ke ?

 
Kita: Baguslah. Kita pun dah lama tak jumpa. Aku tak ada cadang nak kemana-mana esok.

 
Kenalan: Cantik .. esok aku telefon kau kalau aku jadi datang.
Usah susah-susah .. kalau aku jadi datang pun, sorang je.

Apa tindakan yang sepatutnya kita buat selepas terima panggilan seumpama tu? Nak bersedia ke tidak ? Sebab dari kata-kata kenalan kita itu, dia tak pasti akan datang atau tidak.

Kalau kita sedia lebih-lebih, takut dia tak datang. Membazir je mee kari yang kita buat. Kalau tak sedia dan dia benar-benar datang, takkan nak bagi air kosong je. Ish .. serba salah juga dibuatnya.

Pernahkah anda mengalami situasi yang serupa? Apa tindakan yang anda buat ? Kalau belum pernah, apakah tindakan yang sepatutnya anda buat?


WW # 119 : LIHATLAH MANUSIA-MANUSIA YANG KEPANASAN DI JETI KUAH, LANGKAWI (3.5.2015)

KENAPA RAMAI OTAK BLOGGER SUDAH MALAS BERBLOG ?

$
0
0


 Gambar hasil carian Google.


Kelmarin saya menjejaki jalan kenangan dengan melawat entri lama saya yang ini yang telah mendapat paling banyak komen. 

Saya dapati kebanyakan blog pemberi komen samada sudah tidak wujud lagi, tidak aktif  atau sudah berbulan-bulan tidak diupdate.
Dari lebih 100 komen yang saya lawati blog mereka, saya dapati tak sampai 10% pun pengomen yang masih meneruskan aktiviti berblog dengan gigihnya.

Saya ucapkan syabas kepada pemilik blog yang masih aktif (maaf kalau ada yang tertinggal) seperti berikut:

1. Kakcik
2. Aujinz
3. Acik Erna
4. Tijah 
5. Aku Anak Pahang.
6. Abd Razak

Apakah puncanya terjadi demikian? 
Adakah mereka kini aktif dalam medium lain seperti fesbuk, wasap atau instagram dll ?

Saya pun barangkaliharusbolehjadimungkinagaknya akan berhenti atau tidak lagi aktif berblog selepas cita-cita saya untuk mendapt sejuta penunjung tercapai nanti. Entahlah ...





AKIBAT IKUT SANGAT CAKAP ISTERI.

$
0
0


Beg saya itu harganya tak sampai pun RM30 beli kat Malaysia. Sampai juga kat London. Hehe.

Pernah saya mengikuti rombongan seorang menteri ke luar negara. Pihak kedutaan telah tempahkan sebuah hotel untuk semua delegasi termasuk menteri tersebut menginap.  Menteri itu bawa isterinya. Tetapi isterinya tak suka hotel itu kerana kedudukan tandasnya tidak sesuai dengan citarasanya.

Maka terpaksalah pihak kedutaan mengaturkan hotel baru dan pindahlah mereka berdua ke hotel tersebut. Esoknya semasa lawatan ke satu tempat,  kita bergerak berasingan, bukan dalam satu konvoi. Akibatnya menteri itu sampai lebih awal ke tempat yang dituju. Bila kita sampai, mukanya masam mencuka kerana katanya dia telah lama menunggu kami.


Tulah siapa suruh ikut sangat cakap isteri. Ini urusan rasmi, bukan hal peribadi. Kalau hal rumah tangga, terpulanglah. Saya pun selalu ikut cakap Makngahnya dalam hal membeli barang-barang dapur.



Viewing all 723 articles
Browse latest View live